Monday, May 31, 2010

meluat...

cukup-cukuplah dulu tu

Seminggu dua ini meluat dengan kemelut antara kaum ini. Persis filem-filemnya yang penuh api dendam kesumat. Ada kalangan pemimpin yang dianggap 'kawan' pun sudah boleh menggigit kawan sendiri. Tak lama dahulu ada pertubuhan haram kaum ini. Membuat tuntutan yang bukan-bukan. Mencanangkan mereka ditindas, rumah ibadat dirobohkan dan berlaku 'penghapusan etnik'. Mudah sangat pemimpin bermulut longkang itu berhujah. Malangnya, atas nama politik ada jua kalangan bangsaku yang turut menyokong. Bercakap tu biarlah berlandaskan fakta. Jangan sampai melukakan hati pihak lain. Meskipun begitu, tidak adil menuduh keseluruhannya pun begitu. Mungkin ada juga yang boleh jadi sebaik kawan. Cuma, sepanjang berurusan dengan kaum ini pun belum lagi saya berjumpa dengan seorang pun yang benar-benar ikhlas. Malas sebenarnya nak ambil tahu cuma sepatutnya kena berterima kasih dengan apa yang ada. Sebaiknya jangan buat malu kaum sendiri.

ulasan : berpegang pada prinsip di mana bumi dipijak di situ patutnya langit dijunjung..


Sunday, May 30, 2010

lawak nyonya tua..

nyonya tua sebagai hiasan gambar

Mamat sedang mencari parking kosong dengan tiba-tiba didatangi oleh seorang nyonya tua lebih separuh abad umurnya.

" Aloo incik ah, mau tanya sikit ah.. itu Chimpeng mana ah...?

"Apa?" Mamat keliru.

"Chimpeng, Chimpeng .. saya sulah tanya itu guard ah... dia cakap sini ada satu Chimpeng..."

"Sori lah nyonya... Saya tak taulah...

"Apa tempat itu Chimpeng?"

"Aiyah... itu Chimpeng balu punya... saya mau pigi angkat itu wang laa..."

"Saya tak tau la nyonya.. Itu serupa kedai ka apa? Along ka?"

"Chimpeng bukan kedai ma.. lu itu pun tak tau ka? Itu Chimpeng macam itu Maypeng, Public Peng.. itu balu punya Peng..."

"Adoi...apa punya nyonya, bikin aku pening je, cari CIMB Bank sebenarnya...!! rungut Mamat dalam hati.


ulasan : ada pengalaman dulu jumpa nyonya tua tapi sepatah bahasa Melayu pun tak reti ...

Saturday, May 29, 2010

mengapa berbalah?

bawalah bersabar

Dua hari sudah penjejak maya menghadiri mesyuarat penduduk di sini. Kemuncak mesyuarat ini ialah tercetusnya pertikaman lidah daripada sebahagian kecil hadirin. Nasib baik tidak sampai bertumbuk atau membaling kerusi. Cuma saya terfikir mengapa mereka tak fikir akibatnya nanti. Sudahlah tinggal satu blok pun mahu bergaduh lagi. Bagaimana kalau mereka berselisih di tengah jalan nanti? Tentunya sudah bermasam muka. Bagaimana pula kalau tak semena-mena bertembung di dalam lif? Tentunya saling memalingkan muka. Dan bagaimana pula kalau ketika bersembahyang jemaah di surau berhampiran. Mungkin ketika hendak membentuk saf tiba-tiba di sebelahnya ialah seteru yang sama-sama memaki hamun. Adakah mereka akan saling bermasam muka atau masih hendak memalingkan muka? wallahualam...

ulasan : segala kekusutan atau masalah itu boleh diselesaikan melalui musyawarah dengan syarat adanya tolak ansur dan beralah..

Friday, May 28, 2010

no. 146

ranking terkini FIFA

Yang terkini Malaysia ranking ke 146 dunia daripada sejumlah 200 buah negara anggota FIFA. Nak tau betapa jauhnya nombor 146 tu boleh kira mula dari 1 sampai 146 tu. Ada negara di atas Malaysia kemudahan sukan pun serba kekurangan. Tapi dari segi rekod jauh lebih baik dari negara kita. Penjejak maya teringat dalam dekad 70-an dan awal 80-an dulu iaitu zaman kegemilangan bola sepak negara. Walaupun Malaysia tak menjejaki pentas Piala Dunia pun tetapi Malaysia pernah layak ke Olimpik 1972 di Munich dan Olimpik 1980 di Moscow (boikot). Nama-nama seperti allahyarham Mokhtar Dahari, mendiang R. Arumugam, James Wong, Hassan Sani, Santokh Singh, Dato' Soh Chin Aun dan banyak lagi merupakan pemain yang cukup handal. Pada era berkenaan mutu permainan Malaysia setanding dengan pasukan hebat lain. Hatta, pasukan Malaysia merupakan antara seteru utama pasukan seperti Korea Selatan pada masa itu. Harimau Malaya cukup digeruni oleh mana-mana pasukan khususnya di persada Asia. Malangnya, hari ini taring Harimau Malaya sudah tumpul. Ngaumannya pun dah tak segarang dulu. Mungkin juga kalau Harimau Malaya pada hari ini segagah dulu mungkin pasukan Malaysia akan sebaris dengan pasukan lain di Piala Dunia yang akan berlangsung Jun depan.

Ulasan : agaknya bila masa dapat kita lihat Malaysia bertanding di Piala Dunia? Tak seronoklah asyik nak menyokong negara lain pula...

Thursday, May 27, 2010

lawak lesan P

motor lesen P

Kisah ini tentang seorang pakcik tua yang baru sahaja lulus lesen menunggang motosikal. Jadi, mengikut undang-undang, pelekat berhuruf P hendaklah dilekat pada motosikal sekiranya seseorang baru dapat lesen motor. Pakcik itu menunggang motosikal dalam perjalanan pulang. Kebetulan, pihak polis ada membuat sekatan jalan raya..

Polis : 'P' mana pakcik?

Pakcik : P Aloq Staq (loghat Kedah).

Polis : Pakcik nak gurau pulak. 'P' mana pakcik?

Pakcik : Aku nak p Aloq Staq. (Dah mula naik angin).

Polis : Amboi, main-main pulak pakcik (tersengih).

Polis : 'P' mana?

Pakcik : Aku habaq Aloq Staq hangpa tak percaya. Apa hang ingat aku tak tau ka jalan ni nak pi Aloq Staq. Hangpa jadi polis pun hangpa jangan nak perleceh aku tau (marah).

Polis : Pi pi pi lah... nyusah je.

Pakcik : Kan senang kalau habaq camtu...



ulasan : teringat dulu ada keluarga angkat kat Kedah rindu juga suasana kampung dengan bendang menghijau tu...

Wednesday, May 26, 2010

Hotel halal haram

gambar hiasan

Semalam penjejak maya ada membaca isu ini dalam akhbar Utusan Malaysia. Kerajaan telah memutuskan majlis anjuran kerajaan cuma diadakan di hotel yang ada sijil halal JAKIM. Menurut laporan hanya 62 dapur hotel di seluruh negara mempunyai sijil halal JAKIM. Sedangkan jumlah hotel di seluruh negara melebihi 2000 buah.

Bersyukur juga pengumuman ini sebab sebagai penjawat kerajaan selalu juga menghadiri majlis atau kursus di hotel ini. Tapi hotel biasa sahajalah tak sampai pun 5 bintang tu. Saya teringat dulu pernah bekerja di hotel lima bintang. Lepas STPM masa tu. Cuma apa yang saya perasan hotel ini hanya memiliki sebuah sahaja bilik dingin beku. Segalanya disimpan dalam bilik yang sama tak kira halal ke haram. Sebab hotel ini pun ada restoran cina di dalamnya. Hingga kini hotel tu menjadi tempat berlangsungnya majlis besar-besaran. Yang turut dihadiri oleh pemimpin negara. Halal haramnya hingga kini wallahualam.

Mendapatkan makanan halal ini satu yang wajib termasuk diri dan keluarga. Sabda Nabi SAW maksudnya, "mencari yang halal adalah fardu (wajib) bagi setiap orang Islam" [riwayat Dailami]. Makan makanan haram boleh menyebabkan amalan kita tak juga diterima oleh Allah SWT. Bayangkanlah kalau sudah jadi darah daging. Hati pun boleh jadi tak bersih nanti. Pesanan untuk diri saya juga janganlah terlalu gah untuk makan di hotel terutamanya yang berstatus 5 bintang tu. Sebaiknya pastikan dulu halal haramnya. Saya bersetuju dengan pendapat pengarang rencana berkenaan iaitu jika sesebuah hotel itu ingkar untuk mendapatkan sijil halal JAKIM, elok sahaja JAKIM mengeluarkan sijil tidak halal untuk ditampal di hotel berkenaan.

ulasan : moga kita semua dilindungi daripada yang haram selaras dengan cara hidup Islam yang menitikberatkan toyibban iaitu kesucian, amalan kebersihan dan kehidupan yang sihat serta 'halalan'.

Tuesday, May 25, 2010

Jangan kena tipu...

deretan telefon bimbit..

Di KL selalu sahaja bertemu karnival telefon bimbit. April lepas penjejak maya ada mengunjungi karnival ini di Wangsa Maju. Tujuan asal untuk membelikan sebuah telefon bimbit untuk orang tua. Mulanya agak terkejut juga dengan harga yang ditawarkan sebegitu murah. Bayangkan harga telefon Blackberry itu dijual sekitar RM 420 sahaja. Sedangkan di pasaran harganya hampir RM 2 ribu. Begitupun janganlah terjerat kerana telefon yang dijual itu alatan di dalamnya adalah tiruan. Kalau guna pun nanti dalam masa singkat akan ada masalah. Lepas itu, kalau dapat hubungi ejen jurujual itu macam-macam alasan diberinya nanti. Tambah membahayakan apabila ada laporan mengatakan ada jenis telefon bimbit tiruan ini yang meletup ketika dicas.

Berbalik kepada tujuan asal saya ke sana tadi. Saya membeli sebuah telefon bimbit. Itupun selepas berpuas hati dengan keasliannya bersama surat perakuan pengeluarnya. Saya sempat bertanya kepada jurujual ini tentang status telefon bimbit yang dijual di karnival tersebut. Dia mengakui hanya gerainya sahaja menjual yang asli. Gerai-gerai yang lain katanya menjual telefon tiruan. Apabila saya bertanyakan jaminan yang diberi melalui resit yang ada. Katanya karnival itu berlangsung cuma 4 hari sahaja. Lepas karnival mana nak jumpa lagi. Setakat resit sesiapa pun boleh keluarkan. Satu pengakuan jujur daripada mamat cina ini walaupun saya pasti dia pun 2X5 juga. Kemudian mata saya meliar memerhatikan suasana karnival itu. 100 peratus gerai dimiliki penguasaha Cina. Sedangkan hampir 90 peratus pengunjungnya berbangsa Melayu. Yang nampaknya ghairah membeli mungkin akibat terpengaruh oleh harga runtuh itu. Maka, sudahnya tertipu jua bangsaku...

ulasan : kadangkala pelik melihat tabiat orang kita yang kerap sangat menukar telefon bimbitnya. Bukan murah pula tu. Ada yang mencecah 4 angka. Sedangkan ada baiknya 'lebihan duit' itu disimpan untuk belanja sekolah anak-anak. Wallahualam.

Monday, May 24, 2010

widgets

widgets

Widgets ialah aksesori pada blog. Berupa link, counter, informasi, iklan dll. Ada yang memang tersedia dalam blogspot. Tetapi ada juga boleh dicopy paste dari sumber lain. Terpulanglah pada diri sendiri untuk memasukkan sebanyak mana widget ini. Tepuk dada tanya selera. Walaupun begitu tak digalakkan memasang widgets ini secara berlebihan. Bimbang menjadi beban untuk loading nanti. Sebaiknya biarlah pemilihan widget tu yang bermanfaat. Berhati-hati juga sebab adakalanya memasukkan widget tanpa disedari boleh mengundang virus.

Satu contoh widget yang popular ialah shoutmix. Jenis lain seperti shoutbox dan cbox. Shoutmix ini dapat menjadi perantara antara pengunjung dengan pemilik blog. Biarpun komennya ringkas tetapi dapat menandakan kehadiran pengunjungnya. Biasanya semasa blogwalking boleh singgah ke situ sahaja. Mungkin tak berkesempatan komen pada entri boleh sahaja meninggalkan jejak di shoutmix. Widget ini ditawarkan secara percuma dalam program basic tu. Tetapi kalau nak yang canggih boleh melanggan program premium. Tetapi kena bayar yuran langganannya. Buat blogger biasa macam saya ni yang free pun sudah memadai..

ulasan : penjejak maya baru delete widgeo counter tu sebab perasan selalu sahaja silap kira mentang-mentanglah benda free..

Sunday, May 23, 2010

Jasamu bomba..

pasukan bomba dan penyelamat

Jumaat lalu penjejak maya bersolat jumaat masjid di Selangor. Khutbah yang disampaikan pula berkenaan sambutan Hari Bomba. Rupa-rupanya 4 Mei lalu ialah hari bomba sedunia. Tak perasan la pula. Jasa dan pengorbanan bomba ini juga besar. Sewaktu kita nyenyak tidur mereka inilah yang bertungkus lumus memadamkan kebakaran. Kadangkala mereka terpaksa bersabung nyawa ketika memadamkan kebakaran dan dalam operasi menyelamat. Seiring dengan itu mereka turut sama membantu dalam menyelamatkan ekonomi negara. Statistik pada tahun 2009 menunjukkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dianggarkan berjaya menyelamatkan harta bernilai RM 10.3 bilion berbanding RM 5.9 bilion pada tahun 2008. Di bandar-bandar besar KPI jabatan bomba menetapkan masa sampai ke tempat kejadian dalam tempoh 10 minit. Dengan moto sedia menyelamat pihak bomba terbukti sedia berkhidmat walau di mana jua. Tanpa mengira masa dan tempat. Terima kasih untuk pasukan bomba.

ulasan : dulu masa kecik salah satu cita-cita saya nak menjadi fire fighter tapi tak kesampaian pula.

Saturday, May 22, 2010

virus oh virus

3 ekor virus komputer

Sehari dua ini blog penjejak maya didatangi tetamu yang tak diundang. Bermula dua hari lalu apabila saya membuka blog X ini. Tiba-tiba muncullah kotak amaran. Macam dalam entri bro zulkbo itu. Ada 5/6 ekor virus yang terpaksa dikurung. Semalam pula, buka blog Y pula, ada lagi serangan virus. Tapi sepertimana hari sebelumnya dapat mengekang virus ini. Kemudian terima mesej daripada teman blogger mengatakan komputernya ada virus. Puncanya dari blog Y. Menurutnya lagi, antivirus (Avast) tak berkesan menghalang virus itu. Asyik keluar sahaja windows alert tu. Virus pun semakin bertambah dari semasa ke semasa. Saya pun tak dapat nak tolong sangat.

Eloklah pakai sahaja antivirus yang berbayar tu. Tapi saya pakai yang free sahaja. Cuma antara antivirus yang free ini sebaiknya bagi saya pakai Avira sahaja. Kalau boleh pun jangan install terlalu banyak antivirus nanti komputer tu jadi lembab. Punca virus ini wallahualam. Mungkin dari widget yang dimasukkan. Tak pun saya rasa daripada paparan iklan atau tawaran hadiah yang kadangkala menjelma. Khususnya apabila kita melawat blog tertentu. Usahlah klik sila delete atau abaikan sahaja. Sebab apabila blog kita terjangkit virus ini pengunjung yang mengunjungi blog kita pun akan terjangkit komputernya. Kalau boleh kekang itu tak mengapa juga. Tapi macam teman saya itu tensen dibuatnya. Sabar sahajalah buatlah apa-apa yang patut. Untuk teman-teman yang lain berwaspadalah jua.

ulasan : kalau teman-teman buka blog penjejak maya kemudian ada kesan virus sila maklumkan ok. TQ

Friday, May 21, 2010

lawak psikotik


psikotik

Pintu bilik tiba-tiba dibuka dengan kuat dan mengejutkan sepasang suami isteri yang sedang tidur nyenyak. Seorang lelaki psikotik dengan wajah yang garang mengacukan senjata tajam ke arah si isteri...

Psikotik : Sebelum kamu mati aku bunuh, sebutkan namamu!

Isteri: Na...nama sa...saya ...Aisyah...

Psikotik : Aisyah? nampaknya sama dengan nama ibu aku. Aku tidak boleh membunuhmu.

Lalu dia mendekati si suami dan sambil mengacukan senjatanya dia berkata,

Psikotik : Sebutkan namamu. Aku mesti tahu nama setiap orang yang menjadi korbanku.

Suami : Namaku Iwan... tapi... semua orang memanggilku Aisyah


ulasan: manusia psikotik ini cukup bahaya kerana apabila sudah berhalusinasi itu boleh membawa kepada tindakan membunuh.


Thursday, May 20, 2010

kad kredit oh kad kredit

longgokan kad kredit

Alhamdulillah semalam penjejak maya berjaya melupuskan satu lagi kad kredit. Pernah satu ketika saya miliki sampai 4 kad hutang ini. Hari ini saya cuma memiliki satu kad kredit sahaja. Kad kredit berlogokan kepala rimau ini saya gunakan di stesen minyak. Terasa penting juga kad kredit ini manalah tau mungkin diperlukan pada saat kecemasan. Meskipun begitu, kad yang ada ditangan ini akan saya pastikan hutangnya langsai pada hujung bulan. Kini setiap kali hendak berbelanja saya pastikan pembayarannya secara tunai. Kalau hendak berbelanja besar saya akan membeli sewaktu jualan murah. Nafsu membeli pun kena kawal juga. Bak kata orang biarlah alah membeli tetapi menang memakai.

Kad kredit ini macam api juga. Kecil menjadi kawan apabila besar menjadi lawan. Hal ini terbukti melalui perangkaan oleh Bank Negara iaitu sebanyak 30% kes muflis itu adalah melibatkan penggunaan kad kredit. Sebahagian besar yang muflis itu pula berumur antara lingkungan 35 hingga 44 tahun. Pada anggapan saya, mungkin golongan ini berbelanja berlebihan semasa muda dulu terutamanya semasa mula-mula bekerja. Akhirnya, apabila sudah melaut hutang itu tak mampu nak bayar. Sudahnya diisytiharkan sebagai muflis. Seharusnya pemegang kad kredit bijak menggunakannya. Pepatah ada menyatakan beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.

ulasan: sebaiknya eloklah kita elakkan daripada berhutang selaras dengan hadith Nabi SAW,

"Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari"

[Riwayat al-Baihaqi]

Wednesday, May 19, 2010

lagi-lagi buang bayi..

antara rentetan peristiwa pembuangan bayi

Ada rasa sakit hati, marah dan sedih bercampur baur membaca kisah menyayat hati buang bayi ini. Apakah salahnya bayi ini? Dia pun tak minta dilahirkan. Apatah lagi untuk diperlakukan sekejam ini. Cukup memilukan apabila ada antara bayi ini mati akibat deraan, kesejukan dan digigit binatang. Yang terbaru bayi ditanam oleh sepasang remaja. Mana pergi perasaan belas kasihan tergamaknya buat begitu. Rasanya haiwan pun tak tergamak nak buat macam ini. Menurut laporan akhbar semalam, bayi ini masih hidup ketika dilahirkan. Bayangkan tubuh sekecil ini dikambus hidup-hidup! Apakan daya hanya seketika hadirmu ke dunia ini. Tertutup nafas buat selamanya akibat tindakan manusia durjana.

Ini semuanya berpunca daripada nafsu serakah. Sudahlah berzina itu berdosa besar sambung lagi dengan dosa membunuh bayi sendiri. Nauzubillah.Terasa aneh juga apabila si ibu tidak menyedari anaknya mengandung sampai melahirkan anak. Adakah ibu masakini terlalu sibuk sampaikan tak sedar perubahan diri anak. Malah, remaja perempuan ini khabarnya masih bersekolah lagi. Mungkin juga remaja ini terlalu bijak menutup keaiban diri daripada pengetahuan sesiapa pun. Penjejak maya terfikir seandainya si ibu tu menyedari sejak awal lagi mungkin si anak boleh diberikan bantuan kaunseling umpamanya. Mungkin si anak dihantar ke tempat jagaan sementara menantikan kelahiran bayinya. Mungkin bayi itu akan selamat pada hari ini. Mungkin juga si ibu remaja itu dah bergelar nenek sekarang! Walaupun begitu, Allah itu Maha Mengetahui semoga apa yang terjadi ini memberikan peringatan buat kita semua.

ulasan: mencegah tu lebih baik dari merawati dan tindakan itu lebih baik daripada sekadar bercakap sahaja. Tak mungkin isu buang bayi ini dikaitkan dengan mentaliti ke arah sebuah negara maju.

Tuesday, May 18, 2010

lawak dalam kuliah

sekadar hiasan sahaja

"Haa kamu yang berdiri di belakang tu," tegur pensyarah

"Cuba sebutkan individu yang terlibat dalam Perjanjian XY?"

"Maaf, saya tidak tahu..encik"

"Apa? tidak tahu? Baiklah, kalau begitu sebutkan saja tahun berapa perjanjian itu dimeterai?"

"Maaf, yang itu pun saya tak tahuu, encik.."

"Tidak tahu sama sekali? Ishh maklumat itu sudah saya sampaikan untuk dibaca minggu lalu. Jadi untuk apa kamu datang ke sini kalau tidak tahu?"

"Mahu memeriksa kabel lampu ini, encik.. Saya ni petugas TNB"...


p/s: tahniah untuk pensyarah, guru dan semua warga Kementerian Pelajaran atas insentif yang diberikan.


Monday, May 17, 2010

China juara Piala Thomas

kelihatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan
mencemar duli untuk menyampaikan Piala Thomas

Akhirnya Piala Thomas edisi 2010 milik China. Meskipun membenamkan Indonesia 3-0 tetapi Indonesia telah memberikan tentangan sengit. Kecuali Taufik Hidayat perlawanan yang lain itu berkesudahan tiga set. Yang pasti China ada kelas tersendiri. Tetapi tak boleh dikatakan kebal pun sebab dalam Piala Uber Korea Selatan berjaya menamatkan dominasi China. Disebabkan tiada klasifikasi perlawanan tempat ketiga dan tempat keempat maka Malaysia berkongsi kedudukan tempat ketiga bersama Jepun. Kalau ikutkan penjejak maya Malaysia selayaknya tempat keempat dan Jepun tempat ketiga. Sebabnya Jepun sudah membuktikan lebih baik dari Malaysia kerana berjaya mengalahkan Malaysia di peringkat kumpulan. Tetapi, mesti ramai pula yang tak bersetuju.

ulasan: walaupun tidak berjaya tetapi diharapkan jurulatih dan pemain tak berputus asa. Insya-Allah kita akan berjaya nanti walaupun tak pasti entah bila...

Sunday, May 16, 2010

Selamat Hari Guru ...



Hari ini 16 Mei 2010 merupakan hari guru. Penjejak maya teringat pada sajak Guru oh Guru karya allahyarham Usman Awang. Masa sekolah dulu selalu membaca sajak ini sebab tertulis pada tembok sekolah. Sajak tersebut menggambarkan betapa besar peranan guru. Guru itu diibaratkan pelita yang menerangi hidup orang lain. Tetapi, saya mengumpamakan guru sebagai bintang di langit yang menyinari malam hari. Memberi pedoman kepada musafir malam hari. Tak kira di daratan maupun di lautan. Begitu juga, tanpa guru tak berpergertian hidup ini. Tanpa pedoman dan arah untuk dituju. Peranan guru hari ini pun semakin kompleks dan semakin banyak. Walaupun begitu, guru juga haruslah bersedia menambahkan ilmu pengetahuan. Seiring dengan akses pengetahuan anak didik mereka. Seharusnya sentiasa selangkah di hadapan anak didik mereka. Yang pastinya gurulah penjana modal insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Moga usaha mereka ini dirahmati Allah SWT.

ulasan: Selamat Hari Guru kepada semua pendidik yang berkunjung ke sini..

Saturday, May 15, 2010

Malaysia kecundang..

barisan yang gagal

Akhirnya harapan menjulang piala Thomas berkubur. Tewas di laman sendiri. Tewas di depan sorakan lautan penonton. Mengapa dan bagaimana Malaysia kalah malas nak cerita. Yang pastinya kaji kelemahan diri sendiri. Lawan tu nampak hebat sebab pemain Malaysia bermain lemah!

ulasan: malas nak ulas...

Friday, May 14, 2010

mengundang padah

sayangkan anak!!

Penjejak maya berasa terkilan dengan sikap sesetengah ibu bapa/penjaga. Sanggup tak hiraukan keselamatan anak. Ada juga yang benarkan anak menunggang motosikal tanpa lesen. Bukan itu sahaja ada yang merelakan anak menunggang tanpa memakai topi keledar. Walaupun tahu itu menjadi satu kesalahan tetapi tetap dilakukan. Tambah memburukkan keadaan apabila ada bebudak ini yang kononnya nak tunjuk skill. Masalahnya tindakan itu bukan sahaja mengundang padah pada diri sendiri tetapi juga keselamatan orang lain. Pernah di hadapan saya seorang budak tergolek bersama motosikalnya di tengah jalan kerana nak tunjuk skill. Nasib baik tiada kenderaan lain. Kalau tak mesti habis dilenyek tayar kereta. Mungkin juga mak bapaknya cakap nanti sudah takdir! Mudahnya cakap nanti. Persekitaran rumah saya ini kalau lampu hijau nak bergerak kena hati-hati toleh kiri kanan kerana bimbang kemunculan motosikal entah dari mana. Kejadian yang menimpa seorang pelajar yang membawa kematiannya harus menjadi iktibar. Walaupun bersimpati tetapi kerana sikap mengambil mudah membawa padah. Keselamatan itu mesti diutamakan terutamanya yang melibatkan anak-anak yang masih di bawah umur. Jangan mempertaruhkan nyawa anak-anak. Beringat sebelum kena kerana malang tak berbau. Tetapi, kalau nasi sudah menjadi bubur apa lagi hendak dikesalkan.

p/s: good luck untuk team Malaysia malam ini..

Thursday, May 13, 2010

Malaysia berjaya..

Hafiz dikerumuni peminat
(sumber foto: metro)

Semalam penjejak maya dapat menyaksikan kejayaan skuad Malaysia. Kejayaan melangkah ke separuh akhir itu melalui tugas yang getir. Berbeza dengan aksi ketika menentang Jepun pada kali ini setiap pemain telah menunjukkan semangat juang yang kental. Semangat macam inilah yang kita harapkan. Walaupun Wong Choon Han dan bergu nombor dua tu kalah tak mengapa sebab mereka telah berjuang bermati-matian. Hafiz pula berjaya menemui balik sentuhan dramatiknya. Selepas ini, jurulatih diharapkan dapat mencongak strategi untuk mengalahkan China. Pemain-pemain pun perlu lebih siap siaga lagi. Jangan terlalu diulit dengan kemenangan ini sebaliknya fokus untuk perlawanan esok. Yang penting disiplin dan komitmen 100 peratus. Jangan cepat mengalah dan ingatlah bahawa perjuangan ini untuk negara. Skuad kali ini sememangnya ada berpotensi untuk menjulang Piala Thomas. Mudah-mudahan skuad Malaysia berjaya mengalahkan China nanti.

ulasan: Malaysia bolehh..

Wednesday, May 12, 2010

memalukan negara..

Rexy cuba menenangkan mamat ni nak meluru
kepada penonton yang mengejek!

Penjejak maya frust nengok Malaysia kalah kepada Jepun dalam Piala Thomas. Walaupun still masuk ke suku akhir tapi kekalahan tu susah nak terima. Kalau menang dengan Denmark pun jumpa China di separuh akhir. Sepatutnya lawan China pada final nanti. Wong Choon Han dan Hafiz tu kalah mungkin boleh dimaafkan sebab dua-dua tu dah slow. Main pun dah macam yo-yo. Yang menjengkelkan kekalahan Fairuzizuan dan Zakry yang bermain seperti tiada semangat juang. Mutu permainan pun merosot teruk. Sudahlah tu bila dah kalah si Fairuzizuan ni terlebih emosi pula. Meskipun kelebihan gelanggang dan sorakan penonton berpihak kepada kita. Ditambah lagi keputusan kontroversi penjaga garisan tetapi pemain Jepun tetap menang juga. Walaupun ranking dunia entah ke berapa pun. Sebabnya mereka memiliki disiplin dan semangat juang yang tinggi. Harapan saya lepas ini buatlah post mortem kaji kelemahan sendiri. Jangan setiap kali kalah ada sahaja alasan. Yang mamat kepala angin tu tak usah bagi main lagi. Kombinasinya pun dah malap. Lain kali sahaja bagi dia peluang sebab dia pun masih muda lagi. Masih ada masa bagi dia treatment yang sesuai. Pengalaman sahaja tak memadai kalau tiada semangat dan nak menunjuk-nunjuk. Yang penting kita nak menang. Walaupun begitu, permainan Datuk Lee Chong Wei dan Koo Kien Keat & Tan Boon Heong tetap best.

p/s: nasib baik tak pergi stadium nengok kalau tak bertambah lagi frustnya..

Tuesday, May 11, 2010

my bloglist


Entri penjejak maya di sini bukanlah seperti blog tutorial. Sekadar hendak menulis sahaja di sini. Bloglist ini opsyen dalam blog. Ikut suka nak letak ke tidak. Saya berterima kasih kepada blogger daddy zuki sebab ada mengingatkan pasal bloglist ini. Apabila sudah ada bloglist lebih mudah nak trace kawan-kawan. Boleh juga tahu tajuk menarik dan entri terkini. Macam saya juga letakkan bloglist untuk sesiapa yang follow. Tapi ada aneka cara nak letak bloglist ni. Ikut suka sendiri. Berdasarkan bloglist ini saya cuba juga nak membaca dan mengomen blog yang sedia ada. Sekarang ni oklah follower pun tak banyak jadi dapatlah pergi satu persatu entri. Tapi kalau sudah banyak tu mana larat nak maintain. Tambahan lagi dengan komitmen kerja yang bertimbun-timbun. Ingatlah kerja tu lebih penting daripada hendak berblog sahaja. Jadi siapkan kerja tu dahulu. Pesanan ini khusus untuk diri sendiri sebenarnya. Dengan adanya bloglist ini juga membolehkan pengunjung lain dapat manfaatnya. Mungkin juga pengunjung tersebut akan follow blog dalam bloglist. Meskipun begitu, sebaik-baiknya apabila kita letakkan entri sahabat dalam bloglist kita seharusnya sahabat letakkan juga entri kita dalam bloglistnya. Kiranya macam 'win-win situation". Anyway, tak semua blog ada letak bloglist pun. Ikut suka masing-masing sebab sendiri punya blogkan..

p/s: Ada plan nak pergi Stadium Putra menyaksikan pertandingan badminton Piala Thomas tapi kensel nampaknya sebab ada projek belum selesai lagi jadi nengok kat tv sahajalah.

Monday, May 10, 2010

followers


Alhamdulillah masuk seminggu follower penjejak maya semakin bertambah. Follower ini penting dalam blog. Biasanya sejumlah follower akan melambangkan populariti sesebuah blog. Tapi bukanlah saya nak mengejar populariti pula. Sekurang-kurangnya ada insan lain yang sudi membaca itupun sudah memadai. Ada 2 cara follower ini sampai. Pertama, apabila seseorang itu sudi follow secara sukarela. Kedua, apabila kita follow blog orang lain dengan harapan kita akan difollow balik. Adakalanya, meskipun blogger berkenaan menziarah kembali tapi tak follow pun, sekadar menyapa sahaja. Malah, ada juga langsung tak memberikan respon semula. Tapi, usahlah ambil kisah pun. Sebab kalau kita rajin follow blog orang lain ada kebarangkalian follower kita pun bertambah.

Apabila telah ada follower mungkin wujudnya 'keserasian' antara blogger itu dengan follower. Hatta dalam kalangan follower juga. Kedapatan juga blogger yang berjaya mewujudkan komuniti blog masing-masing. Hinggakan ada yang berjaya membuat perjumpaan bersemuka dan dapat mengeratkan silaturahim. Cuma, ikut pendapat saya kalau nak follow janganlah terlalu skeptikal sangat. Walaupun tak kenal raut wajah, asal usul, nama tak mengapalah asalkan ada ketulusan niat. Follow sahajalah dan bila-bila masa kita boleh unfollow kembali. Yang penting mesti ada niat yang ikhlas supaya sama-sama beroleh manfaat. Banyak info yang berguna dapat dikongsi bersama termasuklah soal dunia dan soal akhirat. Moga usaha murni kita dirahmati Allah SWT.

ulasan: terima kasih buat yang follow blog saya ini.

Sunday, May 9, 2010

duhai ibuku...



Ibuku,
menyedari tinggi pengorbananmu
menyabung tiap detik nyawamu
demi menanti kelahiranku

Ibuku,
seharum mewangi kasih sayangmu
mengasuh diriku tak jemu-jemu
tak mungkin terbalas jasamu

Ibuku,
begitu luhur dirimu
mengampuni segala dosaku
yang pernah mengguris hatimu

Ibuku,
biar pun masa berlalu
sudah kini dimamah waktu
anakmu ini tetap menyayangimu


ulasan: Puisi ini saya karang untuk ibuku. Sayangilah ibu masing-masing dan hargainya. Selamat Hari Ibu. Kasihnya ibu membawa ke pintu syurga...

Saturday, May 8, 2010

lawak pari-pari


Pada suatu masa, ada seorang pencari kayu yang jujur dan ikhlas sedang menebang sebatang pohon di tepian sungai. Dengan tak semena-mena kapak besinya terlepas dan jatuh ke dalam sungai. Memandangkan dia tak tahu berenang maka dia menangis apatah lagi kapaknya itulah punca rezekinya.

Sekonyong-konyong muncul seorang pari-pari bertanyakan hal si pencari kayu.

"Mengapakah gerangan bermuram durja wahai tuan hamba?'. Si pencari kayu pun explain apa yang dah berlaku. Pari-pari tadi ilang tiba-tiba muncul dengan membawa sebilah kapak emas.

"Adakah ini kapak milik tuan hamba?" tanya pari-pari itu.

"Bukan.." jawab si pencari kayu. Pari-pari ilang dan muncul dengan membawa kapak perak.

"Yang inikah tuan hamba punya?" tanya pari-pari lagi.

"Bukan yang ini juga", jawab si pencari kayu. Sekali lagi pari-pari ilang dan muncul dengan membawakan kapak gangsa pula.

"Bagaimana pula yang ini tuan hamba?" tanya si pari-pari. "Mana mungkin hamba yang miskin ini memiliki kapak yang berharga ini" jawab si pencari kayu.

Akhirnya, pari-pari ilang dan muncul membawakan kapak besi milik si pencari kayu. "Yes, inilah kapak hamba yang terjatuh tadi" jawab si pencari kayu dengan gembira. Gembira dengan kejujuran si pencari kayu, maka pari-pari memberikan keempat-empat kapak kepada si pencari kayu. Si pencari kayu pulang ke rumah dengan gembira sekali.

Tak lama kemudian si pencari kayu menaiki perahu bersama dengan isterinya. Entah macam mana isteri si pencari kayu tergelincir jatuh ke dalam sungai. Merataplah dia atas kehilangan isteri tercinta.

Pari-pari muncul kembali dan bertanyakan insiden yang berlaku. Sehabis mendengar penerangan si pencari kayu, pari-pari ilang dan muncul kembali dengan seorang gadis mirip Aishwarya Rai.

"Inikah isteri tuan hamba?"tanya pari-pari ingin menduga.

"Yes..yes", jawab si pencari kayu. Pari-pari begitu marah. "Penipu dan sebagai balasan tak jujur terimalah pembalaa.." belum sempat pari-pari menyumpah, si pencari kayu berkata.

"Maafkan hamba! Bukan niat hamba nak menipu. Tuan hamba salah faham. Jikalau hamba berkata "tidak", nescaya tuan hamba muncul lagi dengan gadis seiras Julia Roberts dan selepas itu sewajah dengan Jenifer Lopez. Akhirnya tuan hamba muncul dengan isteri hamba dan apabila hamba berkata "ya", tentu tuan hamba memberi keempat-empatnya sekali gus kepada hamba sedangkan hamba hanyalah seorang pencari kayu yang miskin. Mana larat nak maintain tu kesemuanya sekali.. huh boleh tercabut kepala lutut. Sebab itulah hamba berkata "ya" tadi". Terang si pencari kayu dengan seikhlasnya.

ulasan: ceritanya biasalah saya ubahsuai sikit kalau jumpa pari-pari ini bolehlah minta macam-macam hehe..tapi best lagi layan dengar lagu syair si pari-pari.


Thursday, May 6, 2010

GPS Navigator


Minggu lepas penjejak maya beli GPS Navigator. Sebenarnya sekian lama saya berhajat benda ni. Tapi bajet pulak tak cukup. GPS ni amat berguna untuk menentukan lokasi perjalanan. Kalau di alam maya ni saya tak pernah la tersesat tapi selalu juga tersesat di alam daratan ni. Lebih-lebih lagi tinggal di kota metropolitan ni. Jalan pun dah berselirat dan berbelit-belit. Selalu rujuk juga dalam buku panduan jalan. Tak pun hubungi kawan bertanyakan arah jalan. Tapi kini tak mungkin boleh tersesat. Asalkan alat ni berfungsi sebaiknya.

GPS atau Global Positioning System ni merupakan sistem navigasi satelit yang dipelopori oleh Jabatan Pertahanan Amerika. Melalui GPS kita dapat mengetahui arah kedudukan dan lokasi kita dengan tepat di daratan. Kalau tak silap ada 32 satelit GPS yang beroperasi yang dihubungkan melalui database GPS tersebut. Saya difahamkan alat ni dulu semahal RM 1000+ tetapi kini dah jadi barangan mampu milik. Yang RM 300+ pun ada tapi cap ayamlah. Tiada jaminan jadi tak usahlah beli. Tapi seeloknya survey dulu harganya terutamanya dari internet. Banyak juga kelebihan yang ada seperti paparan 3D, pemain video, document reader, photo viewer dsb. Petanya boleh dimuat turun secara percuma di internet. Dalam gambar itu sepatutnya GPS tu lekat kat cermin bawah lagi bukan seperti itu. Lagi satu masa dalam perjalanan pun ada suara yang memberikan arah perjalanan dan peringatan. Walaupun ada alat secanggih mana pun yang penting jangan lupa berdoa keselamatan sewaktu perjalanan dan memandu secara berhemah. Pandu cermat jiwa selamat.

ulasan: dah ada GPS ni rasa nak berjalan sahaja.

Wednesday, May 5, 2010

Mengapa berblog?



Setiap orang ada alasan tersendiri untuk berblog. Saya berblog untuk menemui kenalan dan berharap agar terjalin ikatan ukhuwwah Islamiah. Sementelah, dapat juga bertukar-tukar fikiran dan belajar sesuatu yang baru sambil berhibur ringan. Bagi orang lain mungkin berblog dapat meluahkan isi hati. Saat berduka tu elok sahaja diluahkan. Jangan memendam perasaan sangat. Manalah tau kalau dengan berblog dapat meredakan perasaan duka lara tu. Tak kurang juga yang berblog untuk memasarkan produk dan mendapat "income" sampingan. Bak kata orang tu sambil menyelam minum air. Tak kisahlah asalkan semuanya berniat baik. Cuma, tak sepatutnya blog digunakan ke arah jalan yang salah. Jangan sampai niat berblog untuk menonjolkan diri dan bersifat riak. Termasuklah memburukkan orang lain melalui umpat keji dan fitnah. Mudah-mudahan kita dijauhi daripada sifat mazmumah ini.

ulasan: apa agaknya tujuan sahabat penjejak maya berblog?

Monday, May 3, 2010

lawak teh panas..


Pada suatu pagi seorang lelaki pergi ke sebuah warung untuk minum pagi. Memandangkan wangnya cuma 80 sen maka dia bertanyakan harga segelas teh panas dan teh sejuk. Kemudian pemilik warung menjawab..

"Teh panas 80 sen dan teh sejuk RM 1.20"

Lelaki itu meminta teh panas dan apabila sampai teh panas lelaki itu tanpa teragak-agak terus meneguk sampai habis. Pemilik warung melihat dengan penuh kehairanan kerana walaupun teh itu panas tapi boleh habis sekelip mata sahaja..

Lalu lelaki itu memberikan wang 80 sen dan berkata, "Kalau lambat minum..teh tu jadi sejuk.. kang tak pasal-pasal saya kena bayar RM 1.20.. lebih baik minum cepat-cepat sebab duit saya pun hanya ada 80 sen sahaja.

ulasan: lelaki tu ade masalah mental lah..

Sunday, May 2, 2010

entri yang pertama...

Salam perkenalan.. hari ini blog penjejak maya dilancarkan. Tiada yang istimewa pun. Sekadar penceritaan dan hiburan hati sahaja. Blog ini pun sekadar mengisi masa yang terluang. Walaupun begitu, tuan empunya blog ini akan cuba untuk selalu kemaskini blog ini. Selain sekadar hiburan ringan. Harapan saya moga sedikit-sebanyak blog ini juga dapat memberi iktibar dan sekali gus mengukuhkan ikatan ukhuwwah sesama kita. Insya'Allah.