Saturday, September 25, 2010

Makluman...

senja yang hening...


Penjejak maya ingin menyampaikan duit raya satu perkara. Penjejak maya akan bercuti dari alam maya ini. Ada hal yang perlu diuruskan. Makluman ini khas untuk para rakan yang mungkin agaknya tertanya kehilangan kelibat penjejak maya kelak. Insya-Allah panjang umur kita akan bertemu selang beberapa tahun nanti.


p/s: Maaf jika ada terkasar kata dan terima kasih untuk segalanya.. Semoga kita mendapat rahmat-Nya jua..



Monday, September 20, 2010

Malware...

yang tengkorak tu imaginasi je..

Bukak blog hari ini bersepah pula malware ni. Malware atau gabungan dari malicius dan software ini merupakan perisian ciptaan penjahat siber. Tujuannya mungkin nak test power dorang dan kesannya boleh menganggu sistem komputer. Kadangkala malware ini tak dapat dikesan oleh antivirus biasa. Sebaiknya pastikan juga antivirus itu termasuk yang anti-malware jua. Blog penjejak maya terjejas juga dengan malware ni. Terpaksa buang dua blog dari bloglist kerana puncanya dari situ. Meskipun begitu ada banyak lagi kekawan blogger yang blognya masih terjangkit. Sebab bila bukak je keluar gambar yang macam itu. Jadi, ambil la langkah yang perlu. Sebaiknya blocked atau delete punca masalah tu dulu. Penjejak maya pun tak berapa pasti pasal malware ini cuma tadi apabila dah delete punca masalah baru la nampak ok blog ini. Penyelesaian yang lain daripada guna goggle chrome bukak la guna mozilla pula akan lebih ok.

Untuk yang masih menghadapi masalah anda boleh mengunjungi laman web di bawah ini..

http://greenboc.blogspot.com/2010/09/penting-malware-panduan-membuang.html?
(credit to cklah)

ataupun anda boleh membaca di sini..


http://zulkbo.blogspot.com/2010/09/tangani-malwares-attack-blogging-tip.html
(credit to zulkbo)

ulasan: semoga blog penjejak maya dan blog rakan sekalian bebas sepenuhnya daripada ancaman malware ini..

p/s: orang nak makan kuih raye pun tak senang..

Thursday, September 16, 2010

Teman baru

teman baru P1 w1max

Susulan daripada entri yang lepas iaitu cakap tak serupa bikin, maka penjejak maya telah beralih kepada P1 w1max ini. Melalui pembacaan pada forum jalur lebar di internet menunjukkan P1 ini agak kurang bermasalah. Kelebihannya juga ialah hanya perlu plug-in sahaja tanpa perlukan talian. Apabila penjejak maya menyemak liputan P1 ini, stesennya pun tak jauh dari sini. Malah, jurujualnya pun memberikan tempoh jaminan seminggu kepada penjejak maya untuk mencubanya. Kalau tak puas hati boleh sahaja dipulangkan. Setakat ini, ok lah jauh lebih baik daripada teman lama dulu.

teman lama celcom broadband

Penjejak maya sudah menamatkan perkhidmatan broadband ini. Walaupun begitu, bukan bermakna celcom broadband ini tak ok. Berdasarkan respon pada entri yang lepas ada blogger yang tiada masalah pun dengan broadband celcom ini. Cuma mungkin di kawasan penjejak maya ini taliannya sudah sesak. Selalunya juga capaian kelajuannya selembab kura-kura ataupun siput . Oleh itu, ada baiknya penjejak maya menamatkan perkhidmatan yang tak memuaskan hati ini.

ulasan lain: Dalam dunia realiti tak mudah kita putuskan teman. Kita perlukan teman dalam kehidupan. Teman yang baik ialah teman yang dapat berkongsi suka duka. Teman yang baik juga yang akan mendorong kita ke arah kebaikan dan mengisi kekosongan hati. Cuma, kalau acapkali menunjukkan tanda ketidakikhlasan, kita pun akan memikirkan sama ada dia sebaik-baik teman buat kita.

p/s: Perasaan penjejak maya bercampur baur apabila membaca dan menonton berita pembunuhan kejam ini. Berasa terkilan juga, mungkin kalau siasatan rapi dilakukan terhadap kes-kes yang dilaporkan sebelum ini, mungkin suspek berkenaan lebih awal dapat dibawa ke muka pengadilan. Mungkin juga pembunuhan kejam ini dapat dielakkan. Tapi, ini cuma andaian sahaja. Nasi sudah menjadi bubur. Moga si pembunuh durjana itu mendapat hukuman setimpalnya.


"Dalam kehidupan binatang tidak mungkin ada yang berhati manusia tetapi dalam kehidupan manusia ada sahaja yang berhati binatang!".


Saturday, September 11, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri..

barisan kuih raya

Semalam sudah berlalu hari raya yang pertama. Kemeriahan dapat dirasai dengan berkumpulnya satu keluarga. Walaupun ada ahli keluarga yang beraya di tempat lain. Kuih raya ini kebanyakannya dibeli sahaja. Mak penjejak maya pun mana larat nak buat kuih macam dulu lagi. Tapi kekadang yang abiskan kuih raya tu pun bukan tetamu yang datang pun sebaliknya tuan rumah juga hehe..

sedang menikmati ketupat

Yang ini sewaktu penjejak maya menikmati ketupat. Ketupat ini penjejakmaya nikmati dengan rendang, serunding atau kuah lontong tu. Hasilnya sepanjang hari raya, penjejakmaya tak menjamah nasi. Hanya ketupat dan kuih raya menjadi santapan. Termasuklah air oren raya tu. Mungkin di sesetengah tempat lebih istimewa lagi dengan nasi tomato, sate, lemang, aneka mi dsbnya. Menu istimewa tempat kalian apa pula?.

ulasan: Selamat makan kuih raya, Selamat pergi beraya dan Selamat keluarkan duit raya..

Wednesday, September 8, 2010

Persiapan akhir raya..

suasana di pasar Datok Keramat

Hari ini penjejakmaya berkunjung ke Pasar Datok Keramat. Tujuan utamanya nak membeli daun ketupat. Daun ketupat ini nanti akan dianyam oleh mak dan adik perempuan pula. Penjejakmaya tak reti menganyam daun ketupat ini cuma pandai makan je hehe. Esok mungkin beli daging pula sebab esok di sini ada pasar tani edisi raya. Kalau di kampung penjejakmaya esok dikira sebagai hari bantai/mantai dan suasananya tentu lebih meriah. Lepas beli daun ketupat tu singgah beli air oren. Air oren ni mesti ada masa raya. Bebudak kalau datang beraya kekadang minum air oren ni je. Lepas itu tentulah nak duit raya pula. Mungkin kalau rajin esok pergi ke jalan TAR. Kalau hari akhir ini biasanya ada jualan lelong stok kuih raya yang tak habis tu. Kalian pula bagaimana? Mesti tak menang tangan untuk persiapan mutakhir ini. Apa yang lebih penting ialah dalam persiapan kita ini biarlah kita bersederhana tetapi kemeriahannya tetap terasa jua.

ulasan: Hari raya ialah tanda kemenangan umat Islam melawan hawa nafsu. Semoga segala amalan kita sepanjang bulan Ramadhan ini diberkati oleh Allah SWT. Untuk kesekian kalinya SELAMAT HARI RAYA..

Saturday, September 4, 2010

Selamat berhari raya..


Mungkin tatkala ini ada yang sedang merancang untuk pulang ke kampung. Apatah lagi sekolah pun sudah mula bercuti. Sebelum pulang itu pastikan pintu rumah berkunci rapi dan cabut semua plug elektrik itu. Maklumkan juga kepulangan kita kepada jiran dan pihak polis jika perlu. Selain itu, keselamatan semasa memandu juga menjadi keutamaan. Kondisi kereta itu pastikan dalam keadaan yang terbaik. Begitu jua, pemandu pun hendaklah mendapat rehat secukupnya. Pandulah dalam keadaan yang segar dan mematuhi peraturan jalan raya. Biar lambat asalkan selamat kerana kampung tu tak lari pun.

kad raya untuk kekawan

Seterusnya, penjejakmaya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada rakan blogger sekalian seperti abd razak, ahmad humairi, maiyah, ustaz eds, akuanakpahang, zulkbo, kak erna, sahromnasrudin, relevan, tirana, werdah, pn kartini, linda, al-lavendari, cklah@xiiinam, cemomoi, sweetie2010.blogspot, cik amy sensei, piewahid, maiza, ana, sz/m.s.s, kak wan, azieazah, alehkayong, ain, ikan emas, abu aiman, ainoraini, asha, eelobor, yunus badawi, norgadis labuan, sonata anak kancil, noremylin, fidde omar, anif, asha, rozali, afida anuar, daya, azrina 03.07, cheqna, lipislady, sayangsayang ibu, amir komeng, kunang-kunang, maslinamansor, qaseh, lionteen, endiem, kaseh nazlieza, alimaz, sally dan banyak lagi yang tak sempat saya sebutkan. Termasuk juga silent reader yang membaca entri pada blog ini. Sudilah ambil kad yang tak seberapa ini.

p/s: selamat hari raya dan berhati-hati sepanjang perjalanan nanti..

Wednesday, September 1, 2010

Menjijikkan..

gambar 18 sx

Apabila melhatkan klip video Namewee ini menggambarkan betapa sempit fikiran dia ni terhadap soal perpaduan kaum. Tak tahu langsung adab untuk menghormati budaya dan kepercayaan orang lain. Namawee ini bukan sahaja menghina individu yang terlibat tetapi juga menghina Kementerian Pelajaran Malaysia. Yang paling menyakitkan hati dia mempersendakan soal puasa. Ishh buat panas hati saje. Konon katanya untuk menyampaikan mesej antirasis. Tapi boleh ke gunakan cara memaki dan mencarut tu. Sudahlah tahun 2007 lalu, dia ni juga yang mempersendakan lagu Negaraku. Rupa-rupanya masih tak sedar diri. Agaknya itu yang dia belajar sepanjang masa di Taiwan tu. Penjejak maya berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan keras terhadap Namawee ini. Bagi dia serik dan sebagai pengajaran juga buat yang lain. Janganlah sesiapa cuba mengganggu gugat keharmonian yang sedia ada ni.

ulasan: apa kata kalian terhadap tindakan tak senonoh Namawee ini?

Monday, August 30, 2010

dah shopping?

baju raya

Cantik tak? Semalam pergi shopping raya. Gambar ni diambil di luang legar sebuah shopping complex di sini. Yang baju biru tu lengkap dengan samping harganya RM 500.00 dan selepas diskaun RM 371.50. Yang belakang warna hijau tu harganya RM 635.00 dan selepas diskaun RM 479.50. Terfikir juga kalau guna duit raya kerajaan sebanyak RM 500.00 habis untuk baju raya sahaja. Tapi penjejak maya tak beli pun baju yang dalam gambar tu.

Kalian pula bagaimana? Dah complete ke persiapan raya tu. Ada yang suka menempah dan ada juga yang suka membeli. Ada sesetengah orang dah sedia baju raya sebelum ramadhan lagi. Ada juga yang akan membeli pada saat akhir. Kelebihan membeli pada saat akhir mungkin penjual akan memberikan potongan harga untuk menghabiskan stok. Cuma pilihan warna tu tinggal tak banyak lagi dan mungkin juga takde saiz yang sesuai lagi.

ulasan: selamat bershopping raya. Pesanan buat rakan dan termasuk penjejak maya juga biarlah bersederhana ketika berbelanja dan berbelanjalah mengikut kemampuan yang sedia ada.

p/s: selamat ulangtahun kemerdekaan ke-53..

Friday, August 27, 2010

Cakap tak serupa bikin..

Keratan akhbar Harian Metro

Tertulis pada iklan tersebut "kelajuan hebat tanpa gangguan dengan liputan broadband terluas", yang sebenarnya hanya indah khabar sahaja. Dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini pun, seorang pengadu dari Shah Alam menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap mutu perkhidmatan Jalur Lebar Celcom ini. Beliau mengambil pakej Celcom Broadband Advance dengan bayaran RM 98 sebulan. Tapi menurutnya kelajuan capaian internet tak seperti yang diharapkan kerana seringkali berlaku gangguan terutama pada sebelah malam yang terlalu perlahan dan adakalanya tak boleh online langsung. Alasan dari khidmat pelanggan Celcom pula ialah talian sesak. Masalah yang sama pun, penjejak maya alami juga. Walaupun usage 3G tu banyak lagi pun tapi slow juga. Apabila dah slow tu nak buka blog kekawan pun jadi lambat loading. Lebih-lebih lagi kalau blog yang "berat" tu. Sebagai alternatifnya, penjejak maya ada terfikir hendak menukarkan pada perkhidmatan jalur lebar yang lain, seperti di bawah ni...

risalah dari PC Fair hari tu

Selama ini penjejak maya suka pakai broadband sebab senang dibawa ke mana-mana. Tapi kini kalau di KL ni kebanyakan lokasi dah ada perkhidmatan wifi. Jadi, tidaklah memerlukan sangat broadband ini. Dalam perhatian sekarang mungkin nak bertukar kepada pakej P1W1MAX atau yang terkini unifi tu. Memanglah lebih canggih lagi tapi bajet bulanan pun kena tambahlah juga. Namun begitu, liputan P1W1MAx dan unifi ini tak meluas lagi. Walau apa pun nak kaji dulu dan mungkin lepas raya baru nak buat keputusan.

ulasan: kalian ada masalah ke tak dengan pakej jalur lebar yang sedia ada tu?

Wednesday, August 25, 2010

Bazar ramadan..


Bazar Ramadan Setiawangsa

Kehadiran Ramadan adalah sinonim dengan kewujudan bazar ramadan. Lazimnya di bazar ramadan ada dijual aneka juadah makanan. Tapi kali ini penjejak maya tidak paparkan tentang makanan. Sebab itu dah terlalu biasa bagi kita. Yang terpapar dalam gambar itu ialah produk bukan makanan. Dah nama pun bazar jadi macam-macam ada di situ. Antaranya ada bunga api, mercun, CD, kain, samping, belon dan alat mainan. Barangan ini pun ada yang dijual secara lambakan, disusun rapi di atas meja dan ada juga yang dibawa oleh penjajanya sambil berjalan-jalan untuk mendapatkan pembeli. Cuma kita juga perlulah berhati-hati membeli barangan ini terutamanya yang melibatkan mercun dan CD cetak rompak tu. Yang pastinya juga nanti kesemua barangan itu tidak akan terhidang waktu berbuka puasa nanti!

ulasan: sepanjang Ramadan juga adalah masa yang sesuai untuk menambahkan punca rezeki. Mungkin ada kalangan sahabat blogger turut sama berniaga secara kecil-kecilan. Hasil pendapatan itu dapat juga digunakan untuk persiapan raya nanti. Kebetulan juga hari ini ada perkhabaran gembira buat kakitangan kerajaan. Kerajaan nak bagi duit raya RM 500 nanti.

Sunday, August 22, 2010

Sesak..

MRR2

Dalam beberapa kali seminggu penjejak maya akan meredah lebuhraya Lingkaran Tengah 2 atau MRR2 ini. Destinasinya sudah tentu untuk pergi kuliah. Nasib baik kelas tak berlarutan hingga lewat petang. Kalau tak mungkin terpaksa berbuka puasa dalam kereta pula nanti. Pun begitu kesesakan MRR2 ini tak kira masa. Tambah menyeksakan kalau pada waktu puncak tu. Kalau ikutkan keperluan pada awalnya MRR2 ini dibina untuk kapasiti kenderaan 100-120 ribu sehari. Tapi hari ini jumlahnya dah mencecah 180-200 ribu kenderaan sehari. Untuk mengatasi masalah kesesakan ini telah ada usul nak membina lebuhraya baru menghubungkan Sg. Besi dengan DUKE di Setiawangsa tu. Kalau menempuh kesesakan ini sikit sebanyak akan memberi kesan pada fizikal dan mental juga. Terfikir juga alangkah baiknya kalau memandu menggunakan kereta jenis auto taklah lenguh kakiku ini. Dalam bulan puasa ini kesabaran juga adalah penting. Yang penting biarlah lambat sikit asalkan selamat sampai ke destinasi ye tak?


ulasan: orang dulu-dulu berjalan berhari-hari untuk ke destinasi tak komplen pun hehe..

Wednesday, August 18, 2010

Anak siapa?

gambar misi PBSM ke Palestin sekitar Julai 2010
*sumber Berita Harian

Kelihatan dua orang kanak-kanak Palestin mengutip dan memakan sisa makanan di atas jalan. Akibat kelaparan anak-anak ini tak sedar aksi mereka telah dirakam. Tersentuh hati melihatkan anak-anak sekecil ini terpaksa melalui kesusahan hidup. Barangkali juga, anak-anak ini telah merasai kehilangan orang tersayang akibat ditangkap atau dibunuh oleh regim Zionis laknat itu. Bertuahnya kita kerana tidak melalui saat-saat getir seperti itu. Anak-anak kita pun bertuah kerana sentiasa cukup makan hatta kadangkala membazir begitu sahaja. Seharusnya, kita bersyukur dengan apa yang ada meskipun rezeki yang ada sedikit cuma. Berbanding di tempat lain ada kalangan saudara seagama kita kelaparan dan tinggal dalam penderitaan. Untuk itu, usahlah merungut dengan rezeki yang ada walau kelihatan cuma sedikit. Apa yang lebih penting bukannya kecil atau besar sesuatu rezeki itu tetapi ialah keberkatan rezeki itu di sisi Allah SWT.


ulasan: bantulah saudara kita dengan bersedekah amal jariah meskipun kecil tapi besar bagi mereka yang memerlukannya..

Sunday, August 15, 2010

Otak mana?


Dalam otak manusia terdapat bahagian otak kanan dan otak kiri. Otak kanan melibatkan pemikiran kreatif, berimaginasi, berperasaan, bersifat seni dsbnya. Manakala, otak kiri melibatkan pemikiran secara linear, menggunakan logik, fakta, matematik, berfikir mengikut urutan, menganalisis dsbnya.

Pernah masa sekolah dulu, guru penjejakmaya menunjukkan cara pengujian otak kanan atau otak kiri ini. Setelah penjejakmaya uji sendiri memang sah lebih cenderung dengan otak kanan. Walaupun masa tu ambil aliran sains tulen tapi memang kurang minat tentang sains dan matematik itu. Bila masuk U pun penjejakmaya pilih bidang kemanusiaan. Kini apabila mula sambung belajar semula berhadapan pula dengan paper statistik ini. Tak boleh nak elak sebab ini paper wajib. Sesetengah orang mungkin tiada masalah nak fahamkan statistik ini. Tapi penjejakmaya agak terkial-kial juga memahami statistik ini. Susah juga nak melekat dalam kepala ini. Terutamanya yang melibatkan banyak formula untuk mencari penyelesaian masalah. Mungkin selama ini terlalu bergantung pada otak kanan. Tapi hakikatnya itu semua bukanlah alasan untuk tidak berjaya. Berpeganglah pada kata-kata bahawa kita menggunakan kedua-dua bahagian otak untuk belajar dengan cemerlang. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih..


ulasan: Anda cenderung menggunakan otak mana?

"Kita adalah kejadian yang sempurna tetapi apa yang kita lakukan selalunya kurang sempurna"

Sunday, August 8, 2010

ke PC fair..

produk dari PC fair

Sabtu lalu penjejakmaya ke PC Fair di KLCC. Lama dah berhasrat untuk ke PC fair ini. Walaupun kelihatan beraneka gajet ICT tapi saya kurang berminat nak ambil tahu. Ditambah pula rasa rimas dengan kesesakan lautan manusia. Tujuan sebenarnya pun untuk membeli program antivirus sahaja. Sebelum ini saya pakai antivirus yang free sahaja. Cuma yang free ni kurang peka sikit dan kalau pun ada virus mungkin dibuatnya koleksi simpanan atau terpenjara dalam kurungan. Tapi kalau yang berbayar ni lebih peka dan dapat remove sekali virus tu. Sebenarnya kalau ikutkan saya pakai yang free ni pun dah memadai. Tambahan lagi kalau kegunaan setakat melayari blog sahaja. Cuma apabila dah mula belajar ini bimbang virus jahat ni akan menyerang fail-fail penting pulak. Especially apabila dah nak start menulis tesis nanti. Akhirnya, saya memilih antivirus avira ni. Harganya pun ok dahtu ada tawaran tambahan 6 bulan lagi. Install pun mudah sahaja. Alangkah bagusnya juga kalau ada program antivirus untuk manusia juga. Install sahaja dalam kepala tu dapat delete segala pemikiran jahat dan hasad dengki tu. Kalaulah ada bahagia sungguh hidup ini...


ulasan: Anda pernah ke mengalami masalah virus komputer yang serius dan setakat ini apakah program antivirus yang anda gunakan?

Thursday, August 5, 2010

Alza atau Exora?


mana satu pilihan hati?

Bukanlah penjejakmaya nak tukar kereta. Cuma tempoh hari menemankan brader penjejakmaya melihat-lihat Alza dan Exora ini. Eloklah tu anak dia pun dah ramai. Bagi saya kedua-dua model ini antara MPV yang terbaik dengan harga antara 60-70k. Kelihatan Exora ini lebih besar daripada Alza. Cukup selesa bagi famili yang anak seramai team bola tampar tu. Tapi kalau anak seramai team sepaktakraw atau bergu badminton tu kereta biasa pun sudah memadai. Tapi, manusia ini memiliki cinta pandang pertama. Sekali menatap sudah jatuh hati. Cuma dalam pemilihan kereta ini usahlah setakat melihat luaran sahaja tapi perlu ambilkira spesifikasi dalaman jua. Kereta boleh juga check luar dan dalam. Tapi kalau manusia pula bagaimana? Bertuah juga kalau menemui insan yang memiliki kecantikan dalaman dan luaran. Tapi adakalanya yang cantik luaran tu tak semestinya cantik dalaman. Yang luaran tu sampai masa akan pudar jua tetapi yang dalaman tu tetap akan cantik sampai bila-bila.

Ulasan: Penjejakmaya lebih berkenan pada Alza kerana nampak lebih kemas dan lebih jimat petrol. Tapi terpulanglah pada hati masing-masing. Tepuk dada tanya selera! Anda pula bagaimana?

p/s: kalau anak seramai team bolasepak nak pakai kereta apa pulak hehe..

Monday, August 2, 2010

kupasan buah...

langsat, manggis dan durian

Hari tu abang penjejakmaya membawakan buah-buahan ini. Kebetulan kampung isterinya mempunyai dusun buah-buahan. Maka penjejakmaya berhadapanlah dengan trio buah ini. Nak kupas buah langsatlah paling mudah sebelah tangan pun dah berjaya. Manggis tu pulak kena gunakan kedua-dua tangan tapi payah sikit je. Nak kopek durian ni pulak tak bolehlah gunakan tangan kosong sahaja. Perlu bantuan alatan lain macam parang tu.

Begitu jua dalam hidup kita. Lumrah sahaja didatangi pelbagai masalah. Kebiasaannya masalah tu boleh selesai dengan mudah macam kupas buah langsat tu. Adakalanya sukar juga nak selesai masalah tu macam nak kupas buah manggis tu. Tetapi kadangkala masalah tu tak mampu nak selesai kalau berhadapan begitu sahaja. Perlukan cara lain untuk merungkainya. Macam kopek buah durian tu tadi. Tapi ada juga orang yang tak pandai langsung kopek buah durian tu hehe.


ulasan: sebaiknya apabila berhadapan dengan rezeki tu nikmati je la tak usah nak fikir tentang masalah pulak.. cintai la jua buah-buahan tempatan.

Monday, July 26, 2010

Apa ada pada nama?

Thomas Mapother

Budaya hari ini melihat nama yang berbunyi keinggerisan tu lebih baik. Mungkin sebab itu banyak selebriti dunia sanggup menukarkan nama asal mereka kepada yang berbunyi Inggeris. Tentu untuk mendapatkan populariti. Sebab itu Thomas Mapother ini menggunakan nama Tom Cruise yang glamer tu. Mungkin dia tak sepopular hari ini kalau gunakan nama asal tu apatah lagi kalau pakai nama Tom Tom Bak. Selebriti lain seperti Cher (Cherilyn Sarkisian), Bob Dylan (Robert Allen Zimmerman), Bruce Lee (Lee Yuen Kam), Sophia Loren (Sophia Scicoloni), George Michael (George Kyriakou Panayiotou) dan banyak lagi.

Nama juga penting apabila kita berblog ini. Walaupun tak pakai nama inggeris pun tak mengapa. Kita bukan nak glamer tahap dunia pun. Tetapi biarlah nama yang digunakan itu bunyinya boleh diterima. Usah letak nama samaran yang tak senonoh atau di luar daripada norma biasa. Seram sejuk pulak apabila menyebutnya. Nak follow pun dah jadi tak seronok. Ikutlah budaya kita orang timur yang terkenal dengan adab berbahasa. Apatah lagi Islam pun menyarankan kita memanggil dengan nama yang baik-baik sahaja. Wallahualam.


Ulasan lain: maaf sebab kalau tak sempat ziarah blog kalian. Dah sibuk semula kerana kelas pun dah mula balik. Maklumlah bekerja sambil belajar ni perlukan komitmen lebih...

Thursday, July 22, 2010

Gerak isyarat..


Gerak isyarat ialah sesuatu yang memberi makna dalam kehidupan. Tapi tak semua gerak isyarat itu difahami sebagai makna yang sama.

Gambar 1 : Tak salah makan gunakan tangan. Tetapi dalam masyarakat Islam makan gunakan tangan kiri ialah sesuatu yang tak beradab. Tangan kiri tu kan digunakan untuk ...

Gambar 2 : Duduk macam tu biasa bagi sesetengah budaya. Tapi dalam masyarakat kita duduk sambil tunjukkan tapak kasut kurang ajar namanya tu...

Gambar 3 : Isyarat tu tanda semuanya ok yang menggambarkan juga kegembiraan. Tapi di Perancis maknanya "you're worth zero", dan di German itu isyarat kasar untuk "rectum"!

Gambar 4 : Isyarat tu mungkin tanda bagus atau ingin menumpang. Tapi kalau kita tunjuk isyarat tu di Nigeria kemungkinan akan kena belasah kerana isyarat tu merupakan bahasa kasar. Kalau di Afrika Barat pula menunjukkan 5 jari seperti mana kita menahan kereta tu mungkin juga kena belasah sebab itu bermakna "you have five fathers" atau "you bastard"...


ulasan: minggu ni penjejak maya dah jadi penjejak budaya pula hehe..

Monday, July 19, 2010

Yanomamo

buat apa tu?

Di Amerika Selatan ada masyarakat primitif dikenali sebagai Yanomamo. Walaupun jumlah mereka hampir 12 ribu orang tapi mereka tinggal berselerak di sempadan Venezuela dan Brazil. Yanomamo tinggal jauh terpencil maka hubungan dengan dunia luar adalah begitu asing sekali. Malah, mereka mengamalkan cara hidup mudah dengan sedikit cebisan pakaian dan berpegang pada tradisi. Seringkali masyarakat ini dijadikan subjek kajian terutamanya oleh ahli antropologi. Dikatakan antara budaya masyarakat ini ialah apabila anak-anak mereka marah pada orang tua dianjurkan untuk menyatakan kemarahan dengan memukul orang tuanya. Dari kecil lagi anak-anak mereka dididik dengan cara ini. Dengan ini, kebiasaan anak menampar muka bapanya tidaklah dihukum sebaliknya akan menerima pujian. Ungkapan yang digunapakai ialah sayangkan bapa tangan-tangankan...


ulasan: Masyarakat Yanomamo ini tak tahu pasal dunia IT apatah lagi tentang blog. Tetapi ada sebahagian lagi masyarakat lain sudah celik IT dan mempunyai blog. Cuma, ada yang mula berat tulang nak update blognya..


Monday, July 12, 2010

Spain juara Piala Dunia 2010.

penyokong spain bersorak-sorai

Penantian siapa juara piala dunia sudah berakhir. Perlawanan yang membawa ke masa tambahan itu berakhir hasil jaringan Andres Iniesta minit ke-116. Spain menang 1- 0 mengalahkan Holland. Penyokong Spain berpesta gembira. Termasuk juga penyokongnya di Malaysia walaupun bukan anak jati Spain. Selain itu, turut gembira dengan berakhirnya Piala Dunia ini ialah para majikan di seluruh dunia. Sudah tentu produktiviti syarikat akan meningkat semula. Manakala, anak isteri kaki bola boleh menarik nafas lega. Kerana kehidupan keluarga mereka kembali normal. Tiada lagi sorakan yang membingitkan telinga. Apatah lagi kalau si suami selalu lesap dari rumah atas tiket menyaksikan perlawanan Piala Dunia di luar.

ulasan: cerita Piala Dunia ini bersambung ke tahun 2014 di Brazil...

Saturday, July 10, 2010

line oh line..

sahabat yang slow..


Siput : slow betul la kau kura-kura.

Kura-kura: biar lambat asalkan selamat.

Siput : betul la kata orang.. lambat macam kura-kura hehe.

Kura-kura : kau tu slow lagi teruk.. dahtu pakai dua nama sekali gus .. tak senonoh betul kau ni haha

Siput : kuang ajar kau.. tapi slow kita pun ape kesah.. tiap bulan duit masyuk

Kura-kura : tau takpee...


ulasan : line broadband ni seringkali slow memanjang. Kalau tahap kura-kura tu boleh tahan lagi. Tapi kalau dah sampai tahap siput lebih baik tido je. Rasa macam tak berbaloi pula bayar setiap bulan kat celcom ni..

Thursday, July 8, 2010

tengok bola..

saat gembira Sepanyol (sumber: yahoo sports)

Pagi ini penjejak maya sempat tengok bola secara langsung. Kebetulan pula hari ni saya bercuti jadi taklah mengganggu tugas harian. Perlawanan yang melibatkan Jerman dan Sepanyol itu adalah antara dua pasukan pilihan juga. Jerman telah menjadi pilihan hati saya selepas Brazil menemui sentuhan kecundang. Malangnya Jerman kalah, tapi taklah terkilan sangat. Sepanyol pula memang layak menang kerana Jerman tak bermain dengan baik. Final Piala Dunia 2010 nanti akan menemukan Sepanyol dengan Belanda. Dua pasukan yang akan menempa sejarah kerana kedua-dua negara belum pernah memenangi Piala Dunia. Untuk makluman hanya ada tujuh buah negara sahaja yang pernah memenangi Piala Dunia. Dan pasukan negara kita pun belum pernah juga hehe..

ulasan: penangan tengok bola menyebabkan mata jadi segar pula dan terus berjaga ni...

Wednesday, July 7, 2010

coretan..

gambar tempelan

Sudah lebih 3 bulan usia blog penjejak maya. Tapi kini tak lagi serajin dulu. Masa awal tu setiap hari ada saja entri baru. Benarlah kata orang kalau nak berblog ini perlukan iltizam jua. Kagum juga pada sahabat-sahabat yang mampu menulis 2-3 entri sehari. Saya pun tak dapat singgah pada blog setiap follower. Tapi prioriti tentulah pada sesiapa yang berkunjung ke blog pm. Selebihnya kalau ada masa singgahlah nanti. Sebenarnya saya juga perlu rajin singgah ke blog sahabat kalau nak mengharapkan orang singgah blog saya ni. Ibarat kata kalaulah sahabat saya pernah bertandang berkali-kali ke rumah saya. Padahal saya tak pun bertandang ke rumahnya barang sekali. Kemungkinan sahabat saya tu dah tak datang lagi. Walaupun rumah saya ni ada swimming pool lagi.

ulasan: rumah saya tiada pun swimming pool tapi tak jauh dari sini ada la tempat ala-ala swimming pool tu hehe...

Monday, July 5, 2010

lawak pemanduan..

aksi monyet memandu


Pada suatu hari, ada sebuah kereta yang dipandu melulu melanggar tiang lampu dan terbalik. Kesemua penumpangnya yang terdiri daripada seorang lelaki, seorang wanita dan dua anak mereka luka parah.

Hanya seekor monyet yang merupakan haiwan peliharaan keluarga itu yang tidak cedera. Pihak polis kebingungan melihat kejadian itu. Lalu untuk mendapatkan gambaran jelas tentang insiden tersebut maka pihak polis cuba menyoal siasat monyet tersebut.

Polis: "Monyet...apa yang terjadi sebenarnya?"

Si monyet kemudian merebahkan dirinya dalam keadaan terbalik beberapa kali.

Polis: "Oh...kereta terbalik beberapa kali... jadi apa yang dilakukan oleh lelaki itu?"

Si monyet menunjukkan aksi mabuk sambil menggayakan minum arak.

Polis: "Oh...lelaki itu memandu dalam keadaan mabuk.. dan bagaimana pula wanita itu? anak-anak juga buat apa?"

Si monyet menirukan posisi orang tidur...kemudian bergerak-gerak seperti orang sedang bertengkar.

Polis: "Oh...okey...saya dah faham...wanita itu tidur dan anak-anaknya bertengkar dalam kereta...dan kamu sendiri buat apa monyet?"

Dan...si monyet kemudian menirukan gaya memandu.


ulasan: jangan biarkan monyet memandu boleh membawa padah hehe..

Saturday, July 3, 2010

Pesanan angin lalu..



Pesan pada angin
sampaikan salam ukhuwwah
buat teman blogger
agar bisa nanti
persahabatan ini
tetap harum di hati kita

Pesan jua pada angin
sampaikan salam takziah
buat team Brazil
agar usah berputus asa
akan kekalahan itu
tetap bangga di hati jua..


ulasan: hati berbunga tanda riang..

Thursday, July 1, 2010

Kesepian ini..

indah nian ciptaan Ilahi


Kesepian ini..
membingkis nota silam
yang menghujani sejuta rasa

Kesepian ini..
mengajar erti hidup
yang pasrah pada-Mu jua

Kesepian ini..
menumpulkan idea
untuk kutulis entri blogku ini.


ulasan: sepi itu indah pada tempatnya...


Tuesday, June 29, 2010

lawak silap orang


Amin baru sahaja tiba di Afrika Selatan. Dia telah lama bercita-cita untuk menyaksikan perlawanan live Piala Dunia ni. Sebaik sahaja mendarat, tiba-tiba perut dia memulas. Sambil berlari anak, dia mencari tandas. Beberapa minit dalam tandas, Amin terdengar suara dari bilik sebelah.

"Apa khabar dik? Sihat-sihat sahaja? Amin terkejut dengan pertanyaan itu. Dia berasa musykil juga bagaimana 'jirannya' itu mengetahui dia orang Malaysia.

Walaupun Amin seorang pendiam dan tak berapa suka berbual dengan orang yang belum dikenalinya, tetapi kerana berada di luar negara dan semangat world cup maka Amin menjawab pertanyaan itu.

"Ya, sihat sahaja".

Orang di bilik sebelah tu terus bertanya lagi.

"Apakah sekarang sudah berasa lega?"

Lalu Amin menjawab, boleh tahan la.

Orang itu pun berkata,"sama la kita, tapi saya ada sedikit masalah". Oleh sebab Amin berasa curiga juga maka dia pun bertanya.

"Masalah apa tu pak cik?"

Dengan suara yang kuat orang tu pun menjawab, "tunggu sekejap, ada sahaja orang sebelah ni menyampuk perbualan kita. Saya akan membelasahnya dahulu sebelum saya menelefon semula". Amin pun menjadi kecut perut lalu cepat-cepat meninggalkan tandas itu.



ulasan: lain kali selidik la dulu jangan main pakai terjah saja..